Thursday, February 25, 2010

Keunggulan Pahlawan Tariq bin Ziyad

Kedatangan Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad ke Andalusia (Sepanyol) bukan sahaja membawa cahaya tauhid malah membebaskan rakyat negara itu dari penindasan serta kezaliman . Ketika itu Sepanyol diperintah oleh Raja Roderiga yang berbangsa Gotik . Dia dan orang - orangnya hidup penuh kemewahan sedangkan rakyat dibiarkan dalam kesengsaraan . Para petani dipaksa membayar cukai yang tinggi . Kaum wanita terutama anak - anak gadis yang cantik berasa tidak selamat kerana sering diperkosa oleh Raja Roderiga ataupun konco - konconya . Mereka yang cuba melawan dibunuh malah ada yang dibakar hidup - hidup . Akibat penindasan yang tidak berperikemanusiaan itu , rakyat hidup dalam ketakutan . Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Afrika , sebuah negara yang aman makmur di bawah pemerintahan kerajaan Islam .


Panglima Julian atau Gabenor Ceuta , menaruh perasaan marah dan dendam kepada Raja Roderiga kerana memperkosa Florida , puterinya yang cantik jelita . Bagi membalas dendam kepada raja yang zalim itu , dia berangkat ke Afrika lalu menghadap Musa bin Nusair , wakil khalifah Islam di Afrika . Julian meminta bantuan tentera Islam bagi menumbangkan pemerintahan Raja Roderiga .


Bagai pucuk dicita ulam mendatang , Musa bin Nusair segera mempersiapkan sebuah angkatan perang seramai 12 ribu orang bagi menawan Andalusia (Sepanyol) serta membebaskan rakyat negara itu dari penindasan . Dia melantik Panglima Tariq bin Ziyad bagi memimpin angkatan perang itu .

Dengan menaiki 12 buah kapal perang , tentera Islam menuju ke benua Eropah itu . Selepas mendarat di Andalusia , Tariq bin Ziyad segera memerintahkan kapal-kapal perang yang mereka naiki di bakar . Pda mulanya , tindakan itu mendapat bantahan daripada sebahagian besar tentera Islam . Mereka menganggap perbuatan itu kurang siuman dan bertentangan dengan hukum Islam yang melarang merosakkan harta awam . Apatah lagi , kapal perang kepunyaan mereka sendiri . Mereka juga mempersoalkan bagaimana hendak pulang ke tempat asal apabila kapal yang mereka naiki sudah dibakar .

Tariq bin Ziyad segera mengumpulkan tenteranya die sebuah bukit yang kini dikenali dengan nama Gibraltar (Jabal Tariq) lalu berteriak dengan penuh bersemangat " Di belakang kita laut , di depan kita musuh . Kita terpaksa memilih kemenangan atau syahidc. Dan kita tidak akan pulang sebelum mencapai matlamat itu ! "

Kata-kata keramat Tariq bin Ziyad itu berjaya meniupkan kembali semangat jihad di kalangan tentera Islam . Dengan semangat yang berkobar - kobar mereka mara menentang tentera Raja Roderiga yang berjumlah 100 ribu orang .


Tariq bin Ziyad asalnya seorang hamba atau budak suruhan . Dia akhirnya dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya kerana mempunyai sifat - sifat yang terpuji . Seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 tentera Islam ke Andalusia .

Pada mulanya , tujuan penghantaran tentera bagi meninjau keadaan tempat dan kekuatan musuh sebagai persediaan menunggu ketibaan tentera yang akan dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair . Tetapi Tariq bin Ziyad berfikiran sebaliknya . Dia menganggap kedatangan mereka ke Andalusia demi mati syahid ataupun mengalahkan musuh . Oleh itu , dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita mahu pulang .


Pada 19 Julai 711 Masihi , terjadilah pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad dengan tentera Gotik yang dipimpin oleh Raja Roderiga . Peristiwa itu berlaku berhampiran dengan sungai Barbat kerana di situlah tentera Gotik berkumpul bagi menghalang kemaraan tentera Islam . Walaupun pasukan tentera Islam jauh lebih kecil berbanding musuh ditambah pula dengan kelengkapan senjata yang serba kekurangan namun dengan semangat jihad yang berkobar-kobar mereka berjaya memberi pukulan yang hebat pada musuh . Akhirnya , tentera Gotik kalah dan Raja Roderiga mati lemas di sungai Barbat ketika cuba melarikan diri .

Kekalahan itu amat memalukan tentera Gotik lalu mereka mengumpul semula kekuatan bagi mengusir tentera Islam daripada tanah air mereka . Tetapi tentera Islam bertambah kuat dengan kedatangan tentera tambahan dari Afrika yang dipimpin sendiri oleh Musa bin Nusair

Kemudian , terjadilah satu lagi pertempuran paling sengit di Ecija . Dalam pertempuran itu , tentera yang dipimpin Tariq bin Ziyad bergabung dengan tentera pimpinan Musa bin Nusair . Dan sekali lagi tentera Islam mencapai kemenangan .

Tariq bin Ziyad belum berpuas hati dengan kemenangan itu . Dengan persetujuan Musa bin Nusair , tentera Islam dibahagikan kepada 4 pasukan sebelum dihantar ke Kardoba , Malaga , dan Granada . Tariq bin Ziyad memimpin pasukan utama menuju ke Toledo , ibu kota Andalusia . Keempat-empat kota itu dapat ditakluki dengan mudah oleh tentera Islam tanpa mendapat tentangan sengit .

Antara faktor kejayaan gemilang tentera Islam di Andalusia kerana rakyat negara itu sememangnya sudah benci dengan pemerintahan Raja Roderiga yang zalim . Oleh itu , kedatangan tentera Islam dianggap sebagai penyelamat malah ada yang sanggup bergabung dengan tentera Islam bagi memerangi tentera Gotik .


Tariq bin Ziyad bercadang hendak menakluk seluruh Eropah . Tetapi manusia hanya merancang Allah yang menentukan . Ketika persiapan sedang giat dilakukan , tiba-tiba Tariq bin Ziyad diperintahkan oleh khalifah kembali ke Damsyik . Sebagai panglima tentera yang berdisiplin , dia mematuhi arahan itu . Niat mahu menakluki Eropah terpaksa dibatalkan . Panglima Tariq bin Ziyad meninggal dunia di Damsyik . Semoga Allah merahmatinya .






Al-Fatihah untuk beliau dan Para syuhada yang gugur ketika berjihad dijalan Allah ,
semoga roh mereka dicucuri rahmat , Amin .

No comments:

Post a Comment